YSS Alumni
Membantu bukan sekadar perbuatan, tetapi satu rasa yang menghidupkan jiwa.
Penglibatan saya bersama YSS bermula dengan langkah kecil ke Misi Kelantan pada tahun 2024, namun dari situlah lahirnya rasa cinta terhadap makna sebenar memberi. Di tengah kelelahan dan senyuman yang dikongsi, saya belajar bahawa membantu bukan sekadar perbuatan, tetapi satu rasa yang menghidupkan jiwa. Peluang menyertai VLDP 2024 pula bagaikan cahaya yang membimbing, membuka ruang untuk saya mengenal potensi diri dengan lebih mendalam.
Pada pandangan saya, misi YSS bukan sekadar platform menimba ilmu dan pengalaman, tetapi satu perjalanan yang menyedarkan. Menyedarkan bahawa di sebalik keluhan kita, ada yang memikul beban yang jauh lebih berat. Dari situ, saya berubah menjadi lebih peka, lebih peduli, dan lebih menghargai. Melalui YSS, saya bukan sahaja berkhidmat, tetapi juga menemukan persahabatan tulus dan insan-insan hebat yang perlahan-lahan membentuk saya menjadi manusia yang lebih baik.